
Eric Leong Berkongsi Petua Di Laman Web / Keluarga
By Noor Fazrina Kamal
( ARTICLE IN BAHASA MALAYSIA )
MENYAKSIKAN di kaca televiysen kecekapan Eric Leong menata hias rumah dan kepetahannya ‘menurunkan’ panduan-panduan yang cukup kreatif, pasti membuatkan ramai yang teringin melihat sendiri bagaimana bentuk hiasan dalaman rumahnya.
Walaupun sudah dimaklumkan lebih awal bahawa niat penulis adalah untuk memaparkan hiasan dalaman rumahnya, apakan daya kediaman jenis kondominium milik pereka hiasan dalaman terkenal ini, yang terletak di Pantai Hillpark, Kuala Lumpur, masih dalam proses ubah suai.

HIASAN dalaman pejabat Eric Leong menggunakan konsep sama dengan set untuk segmen Quickie di TV8 yang merupakan hasil idea kreatif beliau. Corak fabrik pada sofa menggabungkan konsep Timur dan Barat.
Tidak berkesempatan melihat rumah beliau, penulis mengubah ke pejabat Eric, 36, yang terletak di Menara Amcorp Mall, di Petaling Jaya, Selangor. Tanggapan pertama - kecil namun cukup ceria dan selesa dengan konsep retro.
Namun, bukan itu fokus utama yang ingin dipaparkan, sebaliknya lebih kepada kerjaya personaliti yabertaraf selebriti ini, yang mungkin tidak begitu diketahui oleh sebahagian daripada peminatnya.
Kerjaya Eric sebagai pereka hiasan dalaman telah membuatkan beliau begitu dikenali terutama di kalangan wanita. Siapa tidak kagum dengan sentuhan kreatif pereka ini.
Bakat Eric makin terserlah apabila diberi peluang menjadi hos bersama dalam rancangan televisyen, Casa Impian yang diterbitkan di Astro Ria.
Bermula dari itu, Eric yang dilahirkan di Johor Bahru, Johor, kini menjadi pensyarah separuh masa di dua institusi pengajian tinggi swasta iaitu Universiti Terbuka dan Kolej Universiti Reka Bentuk Raffles, selain bakal memiliki sebuah program bual bicara sendiri bertajuk Jom Bersama Eric yang akan disiarkan di stesen sama pada Februari depan.
Bukan itu sahaja, anda juga berpeluang meminta nasihat Eric menerusi laman webnya yang diberi nama www.ericleong.com.my.
“Sebenarnya terlalu banyak yang saya ingin kongsi bersama orang ramai. Untuk memudahkan mereka, saya ingin mengajak mereka melayari laman web tersebut,” katanya.
Menurut Eric, laman webnya juga menyediakan segmen untuk memuat turun gambar, aktiviti, makan malam, dialog tentang corak hidup dan yang paling menarik ada pertandingan yang boleh disertai semua pengunjung laman webnya.
“Untuk rancangan Jom Bersama Eric pula, saya sudah mengaturkan sebuah segmen menarik di mana pengunjung laman web boleh menghantar gambar rumah mereka dengan hiasan yang terburuk menerusi e-mail khas.
“Apa yang mereka perlu lakukan ialah dengan mengunjungi laman web saya dan sekiranya rumah mereka terpilih, kami di Jom Bersama Eric akan menghias rumah mereka ditaja oleh pelbagai syarikat dari hiasan dalaman,” jelasnya.
Selain itu, beliau kini kerap memberi ceramah di luar negara, selain diberi tanggungjawab mereka bentuk produk Royal Selangor Pewter.
Ketika ini, beliau juga sedang menyiapkan satu koleksi cenderahati mengambil ilham daripada bentuk bunga teratai untuk dijadikan barang hiasan serta kegunaan di rumah.
Dalam kesibukan itu, pemilik Diploma Lanjutan Pengajian Pengurusan dari United Kingdom, ini juga sempat memberi panduan kepada penulih tetang kemasan lembut yang ringkas.
“Sekiranya sudah bosan dengan hiasan dalaman rumah, boleh mengubahnya dengan hanya mengecat dinding utama.
“Kemudian, pastikan fabrik sofa dan langsir sama dengan warna dinding tersebut,” katanya yang juga telah menghasilkan beberapa buku tentang hiasan dalaman.
Kata jurucakap produk SSF, Maxima, Pergo, Lamex dan ICI ini juga, tiada kejayaan datang menggolek yang pastinya beliau berusaha kuat untuk mencapai tahap tertinggi dalam kerjayanya sekarang.
Article @ Utusan Online ... December 24th, 2007
|
|